Sunday, October 5, 2014

Ketokohan Ibn Bajjah


Signifikan filsafat umpama derapan langkah bagi putaran masa yang terus mewarnai dunia. Tapak kekuatan marcapada adalah agama dan falsafah. Manakala sains dan teknologi adalah susulan daripada falsafah yang digarap menerusi akal fikir. Ilmu falsafah itu sebenarnya mencintai hikmah yang akhirnya untuk mengenali Pencipta, seterusnya untuk mencapai eudaimonia, yakni kebahagiaan.

Ibn Bajjah atau ‘Avampace’ merupakan gelaran yang cukup dikenali bagi Abu Bakr Muhammad Ibn al-Say’igh, di Barat (Ahmad Sunawari Long 2008, 229 ). ‘Avampace’ bagi Ibn Bajjah dinamai oleh orang-orang Eropah pada abad pertengahan (A. Hanafi, M.A 1969, 230). Al-Tujibi juga antara gelaran bagi Ibn Bajjah, bersempena dengan nama keluarga Tujibi yang pernah memerintah Saragosa. Saragosa, Sepanyol juga merupakan tempat lahirnya beliau. Kesahihan mengenai tarikh kelahiran beliau tidak dapat dipastikan, namun dianggarkan oleh sejarawan pada abad ke 5 Hijrah/akhir abad ke 11 M. Ibn Bajjah menemui ajalnya pada tarikh 1537 Hijrah/1138 M akibat diracun oleh Doktor Abu al-Ula Ibn Zuhr, seterusnya disemadikan di Bandar Fez, Moroko (Ahmad Sunawari Long 2008, 230).

Falsafah Ibn Bajjah mengenai uzlah falsafi, yakni menyendiri secara falsafah, menjadi penolak kepada uzlah sufi al-Ghazali. Beruzlah falsafi bukanlah memberi tafsiran kepada meminggirkan diri daripada orang awam, akan tetapi menjauhkan diri daripada perkara keji dan melaksanakan amalan terpuji. Usaha manusia dengan menyendiri secara beruzlah falsafi dan terlebur dengan ‘Akal al-Fa’al’, merupakan arah untuk berhubung dengan Tuhan (ittisal) (Ahmad Sunawari Long 2008, 231 ). Asahan berfikir yang digariskan beliau ini, sekali gus menolak amalan tasawuf yang diutarakan al-Ghazali (Mahmood Zuhdi Ab.Majid 2000, 69).

Lantaran kehebatan Ibn Bajjah dalam falsafah, berbagai karya unggul dihasilkan. Betapa tidak, buah fikiran politik beliau yang berpengaruh adalah melalui kitab Tadbir al-Mutawahhid (Imam Ahmad Ibn Nizar 2013, 332). Skop falsafah politik beliau seakan tiada bezanya dengan nukilan Plato, “manusia secara semula jadinya adalah berpolitik ”, (Ahmad Sunawari Long 2008, 230). Polemik dan persoalan jiwa pula dikupas di dalam kitabnya An-Nafs. Perkaitan jiwa raga manusia dan Tuhan, serta kebahagiaan yang merupakan puncak tertinggi daripada kewujudan manusia turut diterangkan di dalam kitab An-Nafs (Imam Ahmad Ibn Nizar 2013, 332).



Tuntasnya dirangkum daripada kontemplasi yang cukup vital. Penilaian ini berkisar kepada sumbangan filsafat Ibn Bajjah dalam disiplin ilmu falsafah itu sendiri. Meneladani ketokohan dan filsafat yang diketengahkan beliau dapat membenih ‘cinta akan hikmah’, yakni ‘cinta akan kebijaksanaan’ yang sewajarnya diraih. Mengasah akal kritis, memahami metafizik, terbuka dengan uzlah falsafi dan menolak kedogmatikan adalah kerangka keberkesanan ilmu falsafah yang menjadi pemangkin warganegara global yang berkorelasi.

No comments:

Post a Comment